Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani...
Lafaz kesyukuran Anjang rafa'kan kepada Ilahi di atas segala rahmat dan nikmat kasih sayang-Nya, memberi keizinan-Nya untuk Anjang menulis berkongsi atas rasa cintakan ilmu dan iman. Demi menjaga aqidah diri Anjang dan masyarakat agar hidup dengan aman, tenteram dan bahagia menurut kehendak dan redha Allah S.W.T..
Pernah anjang mendengar Khutbah Jumaat di Masjid Tanjong Pauh Jitra, di mana khatib pada ketika itu telah membangkitkan masalah mengenai Budaya Hedonisme yang semakin serius menular di kalangan masyarakat terutamanya di Malaysia.
Buktinya, aktiviti-aktiviti yang telah dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu di setiap negeri ternyata lebih cenderung kepada hiburan yang melalaikan seperti Battle of the Band, Kugiran, Joget Lambak, Dansa, konsert-konsert dan sebagainya.
Kesan daripada wujudnya Budaya Hedonisme ini, masyarakat tidak lagi berminat untuk menghadiri kuliah-kuliah ilmu keagamaan di masjid-masjid, forum-forum keagamaan dan lain-lain lagi program yang berfaedah sebaliknya mereka lebih cenderung kepada hiburan yang melalaikan dan mengasyikkan. Akibatnya, prestasi akhlak muda-mudi yang terdiri daripada golongan belia remaja Malaysia semakin menurun. Maka lihatlah kesannya telah mengakibatkan maksiat terus berleluasa dan bermaharajalela. Lihatlah sendiri dengan "membuka mata hati" tentang keruntuhan akhlak dikalangan muda-mudi semakin parah dan benar-benar serius.
Akibat faktor sedemikian terjadi di Malaysia, Anjang sebagai seorang masyarakat yang prihatin dan mempunyai sifat kasih sayang terhadap apa yang berlaku... Anjang menyeru kepada semua masyarakat agar membuka mata seluas-luasnya dengan mengambil iktibar dan pengajaran. Ya, kita seharusnya menghindari gejala yang tidak berfaedah ini. Gelaja ini bukan sahaja salah di sisi agama Islam malah gejala ini juga akan menyebabkan masyarakat yang terdiri daripada golongan belia remaja kita terjerumus ke lembah maksiat dan kemungkaran malah mereka akan lalai daripada mengejar ilmu pengetahuan, yang dimaksudkan Anjang di sini ialah "buta ilmu agama". Sebagai masyarakat yang prihatin dan punyai sikap tanggungjawab yang tinggi seharusnya semua pihak sama-sama berganding bahu menggembeling tenaga dalam memperbanyakkan lagi program-program yang berbentuk ilmiah boleh kita hadiri seperti program wacana ilmu, forum perdana, diskusi ilmu, kuliah-kuliah keagamaan dan sebagainya.
Akhir kata daripada Anjang : Anjang ingin mengajak semua masyarakat agar dapat melihat fenomena yang kian melanda dan disedut sendiri oleh umat Islam terutamanya golongan pemuda-pemudi kita di Malaysia pada hari ini. Maka marilah kita berazam dan berjanji kepada diri kita, agar kita menjauhi dan tidak menyokong segala aktiviti atau mana-mana program yang berunsurkan hedonisme yang kini telah banyak di anjurkan oleh sesetengah pihak yang ingin meruntuhkan moral dan akhlak remaja Islam di Malaysia. Sedar atau tidak, anda semua lebih tahu tentang diri anda sendiri. Semoga perjanjian kita ini sedikit sebanyak boleh mencegah gelaja ini daripada berleluasa di Malaysia yang kita cintai ini. Semoga segala usaha kita ini mendapat keberkatan serta mendapat pertolongan daripada Allah S.W.T. Amien...
Hapuskan Budaya Hedonisme kerana budaya ini telah membawa satu pandangan hidup yang menganggap bahawa kesenangan dan kenikmatan harta-benda atau material adalah tujuan utama hidup. Bagi para penganut kefaahaman ini, mereka lebih berminat dengan kehidupan yang bersenang-lenang, pergi ke pesta-pesta atau konsert-konsert dan berpeleseran merupakan tujuan utama hidup. Mereka tidak juga akan menghiraukan dan mengendahkan sama ada menyenangkan bagi orang lain atau tidak kerana mereka beranggapan hidup ini hanya sekali sehingga mereka merasa ingin untuk menikmati hidup senikmat-nikmatnya.
Di dalam lingkungan pembawa kefahaman ini, mereka hidup sebebas-bebasnya demi memenuhi dan memuaskan hawa nafsu yang tanpa batasan. Daripada golongan pembawa kefahaman ini telah muncul "nudisme" (gaya hidup bertelanjang). Pandangan mereka terangkum dalam pandangan Epikuris yang menyatakan,"Bergembiralah engkau hari ini, puaskanlah nafsumu, kerana esok engkau akan mati."
Biarlah kita berpegang dengan Al-Quran dan As-Sunnah seerat-eratnya, agar kita tidak akan tersesat oleh pembawaan golongan ini dan mampu menyelamatkan masyarakat Islam di Malaysia.
Tiada ulasan :
Sila Tulis Komen Di Sini :