Rabu, 1 Januari 2020

50 Kata-Kata Tokoh Berpengaruh Rabu, 1 Januari 2020


Assalamu'alaikum sahabat-sahabat yang dicintai oleh Allah S.W.T sekalian...
 

Di sini saya ingin berkongsi lagi dengan sahabat semua mengenai sebuah buku yang ada dalam koleksi simpanan saya. 

Buku ini merupakan sebuah buku sulung hasil sentuhan jari-jemari Akh Mohd Dzul Khairi Mohd Noor.. terima kasih akh di atas hantaran buku ini kepada ana.. jazakallahu khaira jaza'.. 

Saya rasa perlu menyiarkan sedikit sebanyak dengan seimbas pandang mengenai sinopsis buku "50 Kata-kata Tokoh Berpengaruh" ini, di mana ia memuatkan 50 kata-kata tokoh Islam terkemuka dalam lipatan sejarah. Ia merupakan himpunan kata-kata yang mampu memberikan motivasi dan semangat untuk para pembaca. 

Antara tokoh-tokoh yang berpengaruh diulas di dalam buku ini ialah Khalid Al-Walid, Sa'ad bin Abi Waqqas, Muhammad bin Kannasah, Umar Abdul Aziz dan juga Abu Ubaidah bin Amir Al-Jarrah. 

Selain dari itu, turut dimuatkan juga kisah disebalik terungkapnya kata-kata itu berserta kupasan daripada penulis sendiri. Buku ini amat berguna dan sesuai untuk orang yang cintakan sejarah dan cintakan ilmu lantaran buku ini memuatkan banyak fakta berkaitan dengan sejarah Islam. 

Ia juga sesuai sekali untuk para pemidato bagi melengkapkan teks-teks pidato mereka, juga buat abang-abang atau kakak-kakak fasilitator ketikamana memberikan slot motivasi mereka kepada adik-adik. Pendek kata, buku ini amat bersesuaian untuk sesiapa sahaja yang bercita-cita untuk menjadi seorang pemimpin di masa hadapan. Islam telah melahirkan ramai tokoh terkemuka dalam pelbagai bidang. 

Mereka sepatutnya dijadikan contoh dan tauladan bukannya terlebih dahulu kita melihat dan mengambil contoh daripada tokoh-tokoh Barat. Jasa mereka terhadap Islam menjadi sumbu dan obor kepada kemenangan Islam selepasnya. 

Berbeza dengan buku kata-kata hikmah lain yang mana hanya menghimpunkan kata-kata sahaja tetapi buku ini telah memuatkan kisah-kisah disebaliknya berserta kupasan yang menarik. Bahkan gaya pengolahan yang ringkas tetapi padat dengan isi juga menjadi daya penarik yang unggul dan berkesan kepada para pembaca yang budiman. 

Amat rugi sekali jika sahabat-sahabatku yang menjadikan dirinya sebagai pembaca yang tegar tidak menjadikan buku ini sebagai salah satu dari koleksi simpanan peribadi. Sentuhan anak muda yang menjadi pemimpin massa ini wajib ditatapi dan dihayati. Malah untuk pimpinan pelajar mahupun pimpinan negara, kalian harus juga memilikinya.

Syamail Muhammad S.A.W.


Assalamu'alaikum sahabat-sahabat yang kasihi...

Marilah sama-sama kita memuji dan memuja Allah S.W.T atas segala limpahan kurnia-Nya yang begitu banyak memberikan kita kenikmatan sehingga tidak mampu kita menghitungnya. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad S.A.W. beserta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqomah mengikuti Baginda. 

Sekali lagi saya bertandang ke sini kerana ingin mengajak sahabat semua menghayati buku ini, iaitu "SYAMAIL MUHAMMAD S.A.W. : Keperipadian Rasulullah" yang merupakan satu karya terbaik mengenai keperibadian dan akhlak Rasulullah S.A.W. di mana ia adalah karya Imam At-Tirmizi. Karya ini singkat namun lengkap sehingga setiap orang yang membacanya seakan-akan menyaksikan langsung keindahan dan keagungan peribadi Rasulullah S.A.W. yang mulia itu. 

Buku SYAMAIL MUHAMMAD S.A.W. ini ialah himpunan hadis-hadis oleh Imam At-Tirmizi tentang semua aspek kehidupan dan sifat yang dimiliki oleh Rasulullah S.A.W.. 

Ini merangkumi 5 aspek kehidupan Baginda S.A.W. iaitu : 

1. FIZIKAL : Tanda kenabian, rambut, uban, celak, berbekam, pakaian, aksesori, cincin, kasut, sandal, pedang, baju besi, pelindung kepala, serban, sarung dan tempat idur. 

2. PERILAKU : Cara berjalan, duduk, bersandar, bertopang, tidur, makan, jenis roti, lauk, gelas minuman dan buah-buahan. 

3. IBADAH : Wudu', doa, wangi-wangian, solat Dhuha, solat sunat di rumah, puasa dan membaca Al-Qur'an. 

4. PERHUBUNGAN & AKHLAK : Berbicara, ketawa, bergurau, bersyair, berbual, bersifat tawadduk, rasa malu dan tangisan. 

5. PENGHIDUPAN : Nama-nama Rasulullah S.A.W., penghidupan, usia, kewafatan, warisan dan mimpi melihat Rasulullah S.A.W. 

Profil Ringkas Imam At-Tirmizi 

Nama lengkapnya ialah Muhammad bin Isa bin Surah bin Musa Ibnu Adh-Dhahhak As-Silmi At-Tirmizi Adh-Dharir. Beliau juga mendapat julukan Al-Hafizh, Al-'Alim, Al-Imam dan Al-Wari'. Selain buku ini, beliau turut menyusun Kitab Al-Jami' (Sunan At-Tirmizi) dan Kitab Al-'Ilal

Para ulama berbeza pendapat tentang kedudukan Imam At-Tirmizi semasa kecil. Sebahagian sejarawan menyatakan bahawa Imam At-Tirmizi buta sejak lahir. Sebenarnya, beliau menjadi buta setelah lanjut usianya. Beliau menjadi buta setelah beliau selesai melakukan perjalanan menuntut ilmu dan menulis karya-karyanya. Imam At-Tirmizi lahir di Hudud pada tahun 214 Hijriyyah. Beliau melakukan perjalanan menuntut ilmu hingga ke Khurasan, Iraq, Mekah dan Madinah. Tidak benar kisah yang menyebut bahawa beliau pernah belajar ke Mesir dan Syam. Salah seorang gurunya ialah Imam Bukhari, seorang guru yang seringkali didatanginya untuk bertanya mengenai kesahihan hadis dan persoalan-persoalan akademik yang lain. 

Di dalam kitab Sunan At-Tirmizi, seringkali dijumpai pernyataan, "Aku tanyakan kepada Muhammad Ibnu Ismail (Imam Bukhari) tentang hadis ini. Dan beliau berkata..." Imam At-Tirmizi meninggal dunia pada tanggal 13 Rejab tahun 274 Hijriyyah di Tirmidz.

Bagaimana Menggunakan Buku Ini??? 

1. Beli beberapa naskah dan hadiahkan untuk masjid, surau, pejabat dan kepada orang yang disayangi. 

2. Dibaca setiap lepas solat 5 waktu terutamanya selepas Subuh dan Maghrib. 

3. Suami isteri baca bersama-sama sebelum tidur. 

4. Dibaca kepada anak-anak selepas solat berjemaah atau sebelum mereka tidur. 

5. Bahan tazkirah, usrah dan halaqah. 

6. Bahan untuk mengisi laman web atau blog.

Bagaikan Khadijah Di Hati Rasulullah...


Ada yang mengatakan perkahwinan ibarat pertaruhan. Ada pula yang mengatakan perkahwinan ibarat percaturan. Tidak kurang pula yang memberi definasi perkahwinan sebagai perkongsian hidup dua hati yang berasal daripada dua keluarga yang berbeza segalanya. 

Walau apapun definasi perkahwinan mengikut takrifan individu, namun Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah, menyingkap petua-petua cinta abadi alam perkahwinan, pengalaman sebenar, tip-tip berguna serta amalan doa-doa tertentu dalam mengemudi bahtera perkahwinan supaya kekal hingga ke akhir hayat. 

- Bagaimana mahu menjadi isteri pujaan suami? 
- Apakah petua kasih dan bahagia? 
- Benarkah sekiranya sudah jodoh tidak ke mana? 
- Sejauh manakah isteri berjaya mengurut ego suami? 
- Adakah amalan doa dapat mengharmonikan hubungan suami isteri? 
- Siapakah orang pertama yang pelu ditambat hatinya? 

Buku ini mampu menjawab segala persoalan yang selalu bermain di minda si teruna dan dara yang masih mencari calon yang sesuai dan yang paling memahami hatinya mahupun yang sudah memiliki calonnya, termasuk pasangan suami isteri yang sedang melayari alam perkahwinan. 

"Isteri mengimpikan suami sehebat Rasulullah, suami pula mengimpikan isteri setabah Khadijah..."

Serlahkan kehebatan cinta dan kekalkan kehangatan kasih dalam perkahwinan bagi mengabadikan kehidupan bersama yang disinari nikmat kebahagiaan duniadan akhirat..

Cinta Adam dan Hawa


Setitis tinta, seuntai kata daripada saya buat semua sahabat yang dikasihi Allah Subhanahu Wa Ta'ala sekalian.. selautan rasa penuh kesyukuran anjang panjatkan di atas limpahan kurniaan-Nya..
 

Satu lagi santapan buat pembaca tegar jika ingin memiliki sebuah buku indah lakaran bahasanya iaitu : "CINTA ADAM DAN HAWA" yang merupakan himpunan beberapa kisah cinta yang telah diadaptasi dari Al-Qur'an Al-Karim. 

Bermula dengan kisah Ashabul Kahfi, Nabi Musa, Adam a.s. dan Hawa, Yusuf dan Zulaikha dan banyak lagi.. Di mana ia memaparkan kesungguhan, pengorbanan, kasih sayang dan penyesalan untuk kita mengambil iktibar dari cerita yang dipersembahkan. Penuh dengan pengajaran, tauladan dan pedoman yang boleh diambil dan dihayati untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Didatangkan dalam bentuk cerita dan sajak menjadikan buku ini amat menarik, ringkas dan padat untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukan seisi keluarga terutama pelajar sekolah dan remaja. 

Buku ini telah ditulis dan dikarang oleh Puan Normala binti Kari merupakan seorang guru pendidikan Islam sejak 1998 hingga sekarang di Sekolah Kebangsaan LimPoon (1) Batu Pahat, Johor. Berasal dari Setiu, Terengganu. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (tingkatan 6) sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma dalam Pengajian Islam di Maktab Perguruan Kinta, Ipoh, Perak (1995-1997). 

Selain bertugas sebagai guru, beliau aktif dalam pelbagai pertandingan termasuk pertandingan mencipta slogan, tilawah Al-Qur'an, berzanji, hafazan dan juga terlibat secara langsung dalam melatih dan menyediakan teks kisah-kisah dari al-Qur'an dan sajak. Sering muncul sebagai johan dalam kategori yang disertai sama ada di peringkat daerah dan negeri. Bermula dari tahun 1998 hingga 2009. Sekolah Kebangsaan LimPoon (1) telah mencipa rekod apabila tidak pernah tewas dalam setiap pertandingan bercerita (kisah nabi) dari Al-Qur'an di peringkat zon bagi kategori lelaki dan perempuan. Buku ini ialah hasil tulisan beliau yang terawal.

Penawar Hati


Assalamualaikum kepada semua sidang pembaca budiman yang sudi melayari ruangan ini..

Marilah bersama-sama saya mengucapkan rasa syukur kepada Allah S.W.T yang telah menjadikan hati seluruh manusia sesuai untuk dilimpahi nur hidayah sehingga layak bagi diriku menerima sekian banyak ilmu yang tercurah oleh-Nya kepadaku selama ini untuk mengetahui seberapa banyak rahsia-rahsia disebalik hati manusia. Walaupun begitu, ilmu yang kuterima itu amatlah sedikit dan terlalu kecil di sisi Allah jika dibandingkan dengan ilmu-Nya.

Syukur yang tidak terhingga kepada-Nya kerana memberi ruang buat saya untuk meneliti sebuah buku yang telah diterjemahkan iaitu "Penawar Hati Bersama Tadbir Dan Ikhtiar Allah Ta'ala" di mana judul asalnya ialah "Tanwirul Qulub". Buku ini disusun oleh Abu Fadl Ahmad bin MUhammad As-Sakandari di mana ia telah diterjemahkan oleh As-Sheikh Othman bin Syihabuddin dan disusun semula oleh Amdan Hamid.

Firman Allah Ta'ala di dalam surah An-Nisa' ayat yang ke-65 yang membawa maksud :

"Tidak demi Tuhanmu ( Ya Muhammad ) mereka ( pada hakikatnya ) tiada juga percaya ( beriman ) kepada engkau sehinggalah mereka menjadikan engkau sebagai hakim terhadap apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa di dalam diri mereka sesuatupun keberatan terhadap keputusan yang engkau berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya."
( Surah An-Nisa' : 65 )

Makam Yakin iaitu kedudukan yang membenarkan seseorang itu merasai akan sesuatu yang dia mempercayainya dengan sepenuh hatinya ialah dengan melalui sembilan cara iaitu :

1) Senantiasa bertaubat dan beristighfar kepada Allah S.W.T.
2) Senantiasa ada sifat zuhud di dalam tindakannya.
3) Senantiasa bersabar dengan segala ujian yang menimpanya.
4) Selalu bersyukur atas segala ni'mat yang telah dikurniakan kepadanya.
5) Khauf ( Takut ) hanyasanya kepada Allah bukan selain-Nya.
6) Raja' ( Harap ) selalu dihadapkan diawal-awal permintaannya kepada Allah bukan kepada makhluk.
7) Redha dengan segala yang ditentukan dan ditetapkan kepadanya.
8) Tawakkal sepenuhnya kepada Allah.
9) Mahabbah ( rasa kecintaan ) hanya akan timbul apabila dia bersama redha Allah kepadanya di setiap tindakan dan di setiap perasaannya.
"Selamat ber'amal dan beristiqomah dalam melaksanakannya"

Saksikan Bahawa Aku Seorang Muslim...


Menjadi seorang Muslim adalah ibarat menjadi sehelai kain putih bersih. Lalu Allah S.W.T akan mencelupnya menjadi warna ketegasan, kesejukan, keceriaan dan kecintaan. Ini merupakan rahmat bagi semesta alam. Aku merindui sang pelangi di mana sang pelangi itu yang sering memancarkan celupan sirna-sirna Ilahi. Kini tiba saatnya, deraian dan kilauan Islam tidak lagi dapat memisahkan dari menawan hati seorang Muslim. 

Maka saksikanlah, bahawa aku seorang Muslim! "... Kau belum tahu yang aku mahu. Dan kau tidak tahu apa yang Allah mahu. Sedang aku melakukan apa yang Dia mahu. The show must go on! Baca buku ini agar kau tahu apa yang Allah mahu!" (Yoyoh Yusroh, Ibu dari 13 putra, Anggota DPR RI).

"Ini buku yang mencerdaskan dan mencerahkan. Ditulis dengan bahasa yang halus dan indah. Selain mengajak mencintai Islam, buku ini mengajak pembacanya menjadi muslim sejati yang cerdas." (Habiburrahman El Shirazy, Penulis Novel 'Ayat-ayat Cinta'). 

"Seorang muslim tak boleh malu menunjukkan identitinya walau terpaksa harus berhadapan dengan tuduhan 'teroris' atau lebih buruk dari itu. Buku ini membawa anda lebih Pe-De sebagai muslim." (Fauzan Al-Anshari, Ketua Dept Data dan Informasi Majelis Mujahiddin Indonesia). 

"...Sungguh, buku ini sarat akan perenungan yang kontributif bagi setiap langkah kehidupan. Selamat menikmati." (Cahyadi Takariawan, Ketua Wilda DPP PKS). 

Saksikanlah Bahawa Aku Adalah Seorang Muslim... 

Di mana aku inginkan, beraqidahkan Islam sesuai dengan pemahaman salafus soleh.. 
Di mana akan ku ikuti kuliyah-kuliyah ilmu yang penuh dalil Al-Quran dan hadis di dalamnya.. 
Di mana aku ingin agar Islam ini tertegak di seluruh aspeknya.. 
Di mana akan ku ikuti usrah-usrah dan halaqah-halaqah ilmu penuh menceritakan keperibadian Nabi Junjungan Muhammad S.A.W... 
Di mana aku ingin benar agar khilafah Islam berdiri tegak beserta syari'atnya.. 
Di mana aku ingin benar memakmurkan masjid-masjid dan mengajak agar lelaki-lelaki Islam memakmurkan juga masjid-masjid mereka.. 
Di mana aku ingin sekali berada dalam golongan-golongan yang Nabi juga sudah menceritakan bahawa di antara 73 golongan tersebut ada satu golongan yang tetap menjalankan ajaran agama Islam ini sesuai dengan syariat yang benar, tanpa menambah, dan menguranginya. 

Setiap golongan mempunyai ciri khasnya tersendiri dan bagaimanakah ciri-ciri golongan yang dijamin oleh Nabi S.A.W. sebagai golongan yang benar dan selamat itu ? 

Inilah ciri-cirinya : 

1) Berpegang teguh dengan Al-Quran dan As-Sunnah dalam segala perkara khususnya ketika terjadi perbezaan pendapat. 

Allah berfirman : 

“Maka jika kalian berbeza pendapat dalam satu perkara, kembalilah kepada Allah dan Rasul-Nya jika kalian beriman kepada Allah dan hari Akhirat”( Surah An-Nisa : 59 ) 

2) Memahami Al-Quran dan As-Sunnah dengan pemahaman para sahabat dan yang mengikuti mereka dengan sesuatu yang baik dan juga sesuatu yang tidak difahami sesuai dengan peribadinya. 

Allah berfirman : 

“Generasi pertama sahabat muhajirin dan anshor serta orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah meredhai mereka dan merekapun redha kepada Allah dan Allah siapkan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya, itulah keberuntungan yang besar”
( Surah At-Taubah : 100 ) 

3) Tetap beristiqomah di atas kebenaran Al-Quran dan As-Sunnah walaupun dihina dan dijauhi oleh masyarakatnya, Rasulullah S.A.W. bersabda : 

“Akan senantiasa ada sekelompok orang daripada umatku yang terang-terangan di atas kebenaran, tidaklah membahayakan mereka orang-orang yang menghina mereka sampai datang perintah Allah (angin dingin yang mencabut nyawa setiap orang yang memiliki keimanan menjelang Qiamat)”
( Hadis Riwayat Imam Muslim ) 

4) Tidak bertaqlid kepada madzhab atau tokoh tertentu tetapi melihat dalil yang dipakainya. Apabila sesuai dengan Al-Quran dan As-Sunnah, diterima. Apabila tidak, maka ditolak sesiapapun yang mengucapkannya. 

Imam Malik Rahimahullah berkata : 

“Setiap orang boleh diambil ucapannya dan boleh ditolak kecuali Nabi S.A.W.” 
( Minhaj Al-Firqoh An-Najiyah : 10 ) 

5) Tidak pilih-pilih syari'at, semua perintah Allah dan Rasul-Nya dilaksanakan semampunya dan semua larangan ditinggalkan tanpa terkecuali. 

Allah S.W.T. berfirman : 

“Apa saja yang dibawa oleh Rasul untuk kalian maka ambillah dan apa saja yang dilarang maka tinggalkanlah”
( Surah Al-Hasyr : 7 ) 

6) Hanya menggunakan hadis–hadis sahih dan tidak menggunakan hadis–hadis dhoif (lemah) dan maudhu’ (palsu), kerana yang dhoif (lemah) dan maudhu’ (palsu) itu merupakan bentuk pendustaan atas nama Rasulullah S.A.W.. 

Baginda S.A.W. bersabda : 

“Barang siapa berdusta atas namaku dengan sengaja maka hendaklah menempati tempat duduknya di neraka”
( Hadis Riwayat Imam Muslim dan lainnya ) 

7) Menegakkan seluruh jenis tauhid dan memberantas segala jenis syirik kerana ini adalah intipati dakwah para Nabi dan Rasul . 

Allah S.W.T. berfirman : 

“Sesungguhnya Kami telah mengutus pada setiap umat seorang rasul untuk menyeru (kepada umatnya) beribadahlah hanya kepada Allah ( tauhid ) dan jauhilah sembahan selain daripada Allah ( syirik )”
( Surah An-Nahl : 36 ) 

Menegakkan Sunnah ( ajaran Rasulullah S.A.W. ) dan membenteras segala jenis kebid’ahan (kesesatan atau perkara yang diada-adakan), 

Rasulullah bersabda : 

“Wajib atas kalian berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah Khulafa' Ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk setelah aku, gigitlah dengan gigi geraham ( pegang erat-erat dan jauhilah perkara-perkara baru yang tidak diajarkan agama kerana hal itu bid’ah dan setiap yang bid’ah itu adalah sesat )” 
(Hadis Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, At-Tirmidzi, Ibnu Majah disahihkan oleh syaikh Al-Albani dalam Sahihul Jami’ ) 

9) Mendidik generasi umat dengan pendidikan yang sesuai dengan pendidikan Rasulullah S.A.W. dan para sahabatnya. 

10) Giat menuntut ilmu syari'at kerana mereka yakin dengan ilmu ini dapat mengetahui dan mencontohi segala ajaran Rasulullah S.A.W. secara terperinci. Demi Allah, tidaklah saya dapati ciri-ciri golongan yang benar tersebut melainkan pada mereka yang menamakan dirinya sebagai golongan Ahli Sunnah Wal Jama'ah. 

Sungguh!!! Di dalam golongan ini terdapat metode dan cara memahami Islam yang lengkap dan sesuai dengan sumber aslinya tanpa menambah ataupun mengurangi sesuai dengan pemahaman Nabi Muhammad S.A.W., Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, para imam dan para ulama' yang benar kesemuanya. 

“Saksikan Bahawa Aku Seorang Muslim” Kalimat ini mengandungi kata ikrar bahawa diriku adalah seorang yang mengakui beragamakan Islam maka seharusnya aku akan terus melaksanakan segala ajaran yang terkandung di dalam Islam kesemuanya, yang sesuai dengan Islamnya Nabi Muhammad S.A.W., Islamnya Abu Bakar As-Siddiq, Islamnya Umar Al-Khattab, Islamnya Uthman Al-'Affan, Islamnya 'Ali Karramallahu Wajhah dan Islamnya para ulama' yang mengikuti jejak langkah mereka. Aku yakin bahawa tidak ada jalan lain untuk aku hidup kecuali dengan cara hidup Islam tonjolkan dengan meniti manhaj Ahli Sunnah Wal Jama'ah dan manhaj ini tidak akan terpesong sama sekali.